Persidangan Guru Cemerlangan Daerah Hulu Selangor 2011

Tuesday, March 1, 2011

Guru Cemerlang meningkatkan prestasi akademik

Pengiktirafan tertinggi perlu direbut semua pendidik bagi martabat profesion, ajar generasi muda

USAHA Kementerian Pelajaran memartabatkan profesion keguruan dengan mengiktiraf jawatan Guru Cemerlang (GC) pelbagai pelajaran adalah usaha terbaik melonjak prestasi akademik di semua sekolah di negara ini. Umum mengetahui bahawa bergelar guru cemerlang amatlah berat dalam merealisasikan pengajaran dan pembelajaran sempurna mendidik generasi muda menjadi insan berguna sepanjang masa.

Pun begitu, ramai di kalangan mereka masih mempunyai pelbagai stigma mengenai arah tuju, peranan dan amanah penting melunaskan hasrat murni Kementerian Pelajaran itu. Merungkai persoalan ini tentu ada hujah bernas dalam usaha mempola generasi guru cemerlang dalam erti kata sebenar berdasarkan siaran ikhtisas buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang yang dikeluarkan oleh Jemaah Nazir kementerian itu beberapa tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Selangor (Gred Khas C juga setaraf Jusa C), Zainal Sudin, berkata, guru cemerlang boleh ditakrifkan sebagai guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Golongan itu sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan. Peranan mereka pula adalah lebih menjurus kepada menjadi pakar rujuk, memberi khidmat nasihat dan memberi bimbingan kepada rakan lain.

“Selain itu, kumpulan guru ini sentiasa peka, prihatin dan gigih membuat perancangan, pelaksanaan dan pembangunan diri murid dalam pengajaran dalam mata pelajaran kepakaran. Mereka juga sentiasa mengkaji dan menghasilkan inovasi baru demi memartabatkan profesion ini bertaraf dunia. Mereka sewajarnya perlu ikhlas menyumbang bakti kepada anak didik setimpal dengan gelaran diterima mereka.

“Pada pandangan saya, ramai guru yang menghadapi pelbagai dilema dan masih merendah diri untuk memohon jawatan ini. Guru tidak perlu rasa bimbang kerana perjuangan ikhlas yang tidak ‘berpura-pura’ tetap diberkati Tuhan ,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang berkhidmat 21 tahun dalam kerjaya perguruan dalam mendidik pelajar menguasai pelajaran Ekonomi Asas pelbagai cabaran dihadapi mampu diharungi dengan keikhlasan hati demi anak bangsa Malaysia tercinta.

“Paling berkesan adalah pelajar mampu menilai kualiti seseorang guru itu. Biarpun banyak tahap penilaian dijalankan kementerian sebelum menobatkan anugerah kepada guru itu namun guru itu sendiri perlu menjalankan kerja dengan keikhlasan, kesabaran dan sentiasa berfikiran terbuka,

“Untuk itu setiap guru yang memenuhi syarat yang ditetapkan dengan pencapaian prestasi cemerlang tiga tahun berturut-turut bolehlah memohon dengan mengisi borang yang dibekalkan itu. Saya suka menasihatkan pentadbir sekolah iaitu guru besar dan pengetua agar membuka peluang kepada setiap guru yang berkelayakan mengisi borang tanpa menyekat dan menghalang peluang mereka,” katanya.

Katanya, selepas dianugerahkan jawatan itu, mereka perlu melipat gandakan usaha agar lebih cemerlang berbanding rakan sejawat yang lain. Katanya, sebenarnya ganjaran lumayan datang kemudian. Bukan sifat seorang guru yang baik hanya mementingkan materialistik semata-mata dan bukannya kualiti kerja.

Beliau tetap bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang mengiktiraf taraf Guru Cemerlang Gred Khas C seperti jawatan pengarah di bahagian lain.

“Keistimewaan ini sungguh ‘luar biasa’. Bayangkan hanya berada di sekolah, tetapi guru menikmati peluang sama kenaikan gaji pokok mencecah RM8,000 sebulan yang ditawarkan itu. Saya tidak pernah terfikir menerima gaji besar seperti ini. Rahsianya mudah, keikhlasan mendidik pelajar tanpa mengharapkan ganjaran, pangkat dan status membuahkan hasil cukup membanggakan.

“Pengiktirafan tertinggi diberikan ini perlu direbut semua guru kerana kerajaan sentiasa mempunyai perancangan jauh memartabatkan profesion yang dihormati ramai ini. Saya tidak menghadapi masalah dengan sesiapa saja di sekolah, negeri Selangor dan peringkat atasan.

“Ini kerana usaha dan perjuangan yang diberikan perlu lebih tinggi berbanding guru lain. Ini saya katakan bahawa sekiranya jawatan Gred Khas C ini membolehkan guru menerima purata gaji kasar RM7,000 hingga RM12,747.94 sebulan berdasarkan tangga gaji tertentu yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Majlis Guru Cemerlang Selangor merancang pelbagai kursus, bengkel, seminar dan taklimat membantu kumpulan guru yang dipilih setiap tahun. Banyak siri perjumpaan dengan ahli yang diadakan bertujuan memantapkan kerjaya ini dari semasa ke semasa. Selangor berbangga kerana kumpulan kami juga menghasilkan program khas dikenali sebagai Program Akademi Terbilang Selangor (Pats) yang mempunyai pengisian besar menjulang pencapaian akademik pelajar pada semua peringkat.

Dalam program itu, guru perlu membuat kerja klinikal merawat masalah pelajaran dalam kelas. Selain itu, peranan ahli kami juga lebih kepada membantu Jemaah Nazir Sekolah (JNS) memantau dan menilai calon guru yang mengisi borang Guru Cemerlang setiap tahun.

Setiap ahli juga mempunyai peranan dan tanggungjawab besar memaju, memantapkan dan mengangkat prestasi mata pelajaran masing-masing. Jiwa saya lebih serasi dengan pelajaran Ekonomi Asas sejak lebih 15 tahun lalu. Justeru, setiap minggu, saya pasti keluar sekolah bertemu rakan guru untuk membimbing mereka dalam pelbagai slot aktiviti ilmiah yang berkesan.

Katanya, beliau ingin memaklumkan bahawa guru tidak boleh ‘berlakon’ untuk mendapat gelaran Guru Cemerlang ini. Mereka perlu menunjukkan watak sebenar bukan sekadar mencantikkan markah atas kertas sewaktu penilaian.

“Bakat kurniaan Tuhan yang diberikan kepada calon Guru Cemerlang ini perlu diketengahkan dalam setiap mata pelajaran masing-masing. Saya sangkal pendapat, jawatan ini diterima secara kebetulan. Tetapi lebih kepada pengiktirafan tertinggi usaha mereka menyumbang bakti dan usaha penuh keikhlasan itu.

“Setiap guru yang berjaya dipilih sebagai Guru Cemerlang perlu menjalankan amanah yang diberikan. Adalah tidak wajar setiap guru hanya menggunakan ‘jalan pintas’ memegang jawatan ini untuk beralih angin ke bidang lain selain mengajar. Saya nasihatkan sekiranya mereka ada niat untuk memasuki bidang pentadbiran perlu memberi fokus khusus kepada bidang itu semata-mata bukannya menjadi Guru Cemerlang,” kataya.

Di Selangor, ada tiga lagi Guru Cemerlang Gred Khas C yang sentiasa komited memajukan dunia pendidikan di sini. Guru berkenaan adalah dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sabak Bernam (Bahasa Malaysia), Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Klang dalam pelajaran Bahasa Inggeris dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong (Matematik) .

Zainal menambah, kumpulan pemikir akademik ini ialah pelopor hebat yang sentiasa merencanakan pelbagai program menyatukan guru bagi menyertai kursus dan bengkel meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kumpulan ini sentiasa mempunyai idea baru dan mantap mencetuskan reformasi pendidikan yang mantap sepanjang masa.

Justeru katanya, setiap guru memandang kelainan kepada guru cemerlang di sekolah. Harapan tinggi rakan lain usah dipersiakan begitu saja. Mereka mengharapkan guru ini lebih cemerlang, mantap dan sentiasa maju ke hadapan dalam semua perkara. Ikon yang diketengahkan ini wajar dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan.

Sewajarnya guru itu boleh menjadi pakar rujuk, sedia menyumbang tenaga dan boleh dibawa berbincang semua pihak. Menjadi harapan dan iltizam jemaah nazir agar guru ini sentiasa mudah didekati kerana peranan besar mereka.

Guru Cemerlang tidak mengambil pendekatan berada dalam ‘zon selesa’ sehinggakan melupakan tugas dan peranan mereka dalam erti kara sebenar. Peranan berat mereka pasti menjadi ringan sekiranya ada usaha berterusan untuk meningkatkan pencapaian diri dalam semua perkara.

Dalam konteks itu golongan hawa didapati ramai menjawat jawatan ini. Namun masih ada lagi guru lelaki yang boleh dibanggakan atas usaha murni perjuangan mereka mendidik anak bangsa berjaya kerana ketekunan guru wanita dalam pelbagai aspek itulah mendorong pencapaian terbaik mereka menjawat jawatan ini.

Pengiktirafan guru lelaki atau perempuan tetap sama kerana perjuangan mereka tidak tersasar tetap mempunyai fokus sama. Guru cemerlang tetap mantap dan hebat tanpa mengira kaum, jantina dan keturunan. Negara pasti ‘ketandusan’ guru lelaki kerana kekurangan golongan itu menjawat tugas murni ini pada masa depan.

“Saya sentiasa berpesan kerana semua ahli agar berbalik kepada matlamat dan objektif asal pengiktirafan jawatan terbaik itu. Pasti tidak berlaku sebarang masalah berbangkit nanti.

“Pada dasarnya peranan guru cemerlang dibahagikan kepada lima item yang utama berdasarkan siaran pekeliling Jemaah Nazir Sekolah. Kesemua perkara itu perlu dikotakan setiap guru yang diberikan amanah menjawat jawatan itu di sekolah. Ini merangkumi bidang membuat perancangan, pengendalian dan pembangunan diri dalam pelajaran masing-masing agar kualiti dan prestasi meningkat setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, mereka berperanan memimpin dan membantu dalam tugas kurikulum dan kokurikulum berkaitan mata pelajaran berkaitan. Selain menjadi pakar rujuk dan menjalankan kajian, inovasi baru mereka juga berperanan membantu menjalankan tugasan yang diarahkan oleh pelbagai pihak termasuklah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri JPN) dan Pengarah Bahagian di kementerian.

Penulis adalah seorang guru/kaunselor

(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Rencana/20091124005844/Article/index_html)

No comments:

Post a Comment

Post a Comment